Salvaged: Diberitahu Gagal Selepas Dapat Surat Tawaran UBD (2009)

"Hello, we regret to inform you that although you have met the minimum requirements to enter UBD, attended the UBD briefing and been offered the offer letter, we have cancelled and withdrawn the said offer and your place in UBD due to human error. My bad. Have a nice day!"


Diberitahu gagal selepas dapat surat tawaran

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Sebilangan penuntut yang telah menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini kecewa yang amat sangat setelah dipanggil semula untuk diberitahu mengenai berita dukacita oleh pihak UBD.
Nurul Hafizah Mohd Othman yang menerima surat tawaran diterima masuk ke UBD bagi sesi pengajian 2009/2010 berasa sangat kecewa setelah dipanggil oleh pihak UBD pagi ini untuk diberitahu yang permohonannya tidak berjaya.
Beliau yang mengharapkan panggilan berkenaan berhubung kait majlis orientasi yang bakal dihadiri pada 26 Julai nanti menjadi sedih apabila mendapat khabar tidak diterima masuk oleh pihak pendaftar UBD.
Bapa kepada pelajar itu, Mohd Othman Mohd Hassan yang menghubungi Media Permata menceritakan kekecewaan anak beliau kerana hanya tinggal "satu langkah sahaja" lagi sebelum meneruskan pengajiannya pada 3 Ogos nanti.
Beliau menjelaskan anaknya yang menerima tawaran belajar dari UBD dan Kementerian Pendidikan melalui sistem HECAS menangis apabila mendapat tahu permohonannya ditolak.
Mohd Othman berkata berita kecewa yang diumumkan oleh Pendaftar UBD itu seolah-olah memperdayakan keluarganya serta beberapa orang lagi yang dipanggil pada pagi itu apabila pihak UBD menjelaskan "berlaku kesilapan manusia" dalam tawaran itu.
Nurul Hafizah serta beberapa pelajar yang dipanggil berjumpa bahagian Pentadbiran UBD sebelum itu bukan sahaja menerima surat tawaran kemasukan malah nama dan nombor kad pengenalan mereka juga tersenarai sebagai bakal mahasiswa UBD.
Menurutnya jika benar-benar beliau tidak layak memasuki UBD, mengapa beliau tidak diberitahu mengenainya lebih awal dan bukannya menyenaraikan nama mereka dalam golongan yang terpilih serta mengikuti taklimat yang berlangsung 6 Julai.
Bagi mewakili pelajar-pelajar yang lain, Nurul Hafizah mengharapkan UBD tidak membuat kesilapan serupa yang bukan hanya mengecewakan mereka tetapi juga ibu bapa mereka yang benar-benar berharap kejayaan anak mereka.
Menurutnya UBD berkata akan cuba memasukkan mereka ke mana-mana institusi pengajian lain namun tidak menjanjikannya.
Mohd Othman juga melahirkan rasa kecewanya kerana beliau sudah mengadakan doa kesyukuran atas tawaran belajar di UBD untuk anaknya itu tetapi hari ini dipanggil oleh UBD untuk memberitahu tawaran itu dibatalkan kerana kesilapan manusia.